Didik hibur adalah satu kaedah alternatif semasa proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
MAKSUD DIDIK HIBUR
- Sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang menghiburkan atau menggirangkan hati
- Pengajaran bersifat santai dan berhibur
OBJEKTIF DIDIK HIBUR
Tiga objektif didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah;
1. Mengguna dan memahami lirik lagu secara didik hibur
2. Mengguna dan memahami bahasa yang indah dan bahasa badan dalam lakonan dan bercerita
3. Mengguna dan memahami pantun dua kerat secara didik hibur
ASPEK DIDIK HIBUR
1. Nyanyian
2. Bercerita
3. Berlakon
4. Berpuisi
CIRI-CIRI DIDIK HIBUR
1. Pembelajaran yang seronok dan ceria
2. Meningkatkan keyakinan, motivasi dan kesediaan belajar murid
3. Murid boleh berkomunikasi secara verbal dan non verbal
4. Menunjukkan tahap perubahan tingkah laku (tahu, faham, hayati)
5. Semangat kerjasama, berpasukan dan toleransi
Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:
Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.
Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.
Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.
Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.
Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.
FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PELAKSANAAN DIDIK HIBUR
Guru Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:
Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid
Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.
Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.
Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.
Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.Guru boleh membuat pelbagai suara.
Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.
Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.
Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak
Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel
Aktiviti Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:
Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.
Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.
Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.
Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.
Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.
Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.
Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.
PENUTUP
Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan penegasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran.